Rabu, 19 Ogos 2009

Hidup Tak Selalu Indah..Hak Wanita Muslim Yang Wajib Tahu!

Hak Muslim: Empat syarat untuk suami mohon berpoligami

SEKSYEN 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan cara permohonan untuk berpoligami yang boleh diberikan oleh Mahkamah Syariah. Seksyen ini digubal bertujuan mengelakkan penyalahgunaan poligami sehingga menyebabkan kezaliman wanita.

Mengikut seksyen itu, sesuatu permohonan kebenaran berpoligami, suami perlu membuktikan empat perkara sebelum mahkamah dan mengeluarkan kebenaran berpoligami.

Empat perkara itu ialah:

a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan; atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, seperti dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak; dan

d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada.

Keempat-empat syarat di atas hendaklah dibuktikan oleh suami secara satu persatu dan bukan salah satu.Selepas mahkamah berpuas hati keempat-empat syarat di atas sudah dibuktikan, barulah mahkamah akan mengeluarkan kebenaran kepada suami untuk berpoligami.Ini bermakna suami bukan saja perlu membuktikan kemampuan beliau menanggung keluarga, malah membuktikan patut atau perlunya perkahwinan yang dicadangkan itu, keupayaan memberi layanan yang adil dan perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan isteri atau isteri-isteri sedia ada.

Bagi memuaskan hati mahkamah di dalam membuktikan keempat-empat perkara di atas, menjadi tanggungjawab suami memanggil si isteri ke mahkamah bagi memberi pandangan si isteri sama ada bersetuju atau tidak kepada permohonan itu. Si isteri boleh membantu mahkamah membuat keputusan yang adil dengan membawa bukti mencukupi bagi menyokong pandangan si isteri itu. Suami juga hendaklah memanggil calon isterinya itu jika kebenaran diberikan serta wali kepada bakal isterinya. Ini bagi memastikan mereka tahu kedudukan suami si isteri yang telah berkahwin. Begitu juga kesediaan suami menanggung bakal isteri mengikut syarat yang ditetapkan oleh mahkamah sekiranya kebenaran untuk berpoligami diberikan.

Mana-mana orang lain yang boleh membantu mahkamah dalam membuat keputusan yang adil juga boleh dipanggil untuk memberi keterangan. Mereka termasuk majikan, kawan rapat dan sebagainya. Si isteri juga boleh memohon untuk mendapat suatu perintah menghendaki suami membuat pembayaran nafkah kepada si isteri dan memerintahkan segala harta yang diperoleh secara bersama dibahagikan di antara si isteri dan suami.

Perkara ini diperuntukkan di dalam seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Selangor) 2005. Daripada tujuan yang diyatakan, suami berhasrat untuk berpoligami kerana telah jatuh cinta dengan rakan sekerjanya dan tidak mahu melakukan maksiat dengan perempuan itu. Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, alasan itu saja mungkin tidak dapat memuaskan hati mahkamah bagi membuktikan keempat-empat perkara yang dinyatakan di atas. Tambahan pula, Islam mempunyai caranya sendiri untuk mengelak daripada melakukan maksiat. Nasihatkan suami supaya meminta bimbingan guru agama cara mengelakkan maksiat. Berpoligami saja mungkin tidak dapat mencegah maksiat.

Seperkara lagi, jika suami sudah meninggalkan si isteri dan tidak berlaku adil lagi, si isteri sebenarnya boleh memohon kepada mahkamah supaya perkahwinan mereka difasakhkan mengikut seksyen 52(h)(iv) enakmen yang sama. Seseorang perempuan berhak mendapatkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum syarak.

Jika disabitkan aduan si isteri di mahkamah, maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinan si isteri dengan suami. Berfikirlah dengan rasional dan minta pandangan orang yang boleh dipercayai sebelum membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan suami. Si isteri perlu hadir ke mahkamah bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil. Sekiranya tidak hadir, maka mahkamah akan terus membuat keputusan tanpa menilai keterangan yang isteri sepatutnya berikan.

(Petikan : Daripada Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2 )

Tiada ulasan: